ADS

ads

Padah sabun muka

Kulit wajah yang kering dapat diperbaiki dengan rejim penjagaan wajah yang betul seperti memakai topeng wajah dan krim pelembap.

SEMENTARA menunggu sesi rundingan dan pemeriksaan kulit bersama konsultan Clinique, Rusydina Mohamed Azhari, 22, sempat melahirkan rasa kesal atas apa yang berlaku pada kulit wajahnya.

Insiden itu berlaku pada tahun lalu gara-gara terlalu mempercayai produk sabun yang dijual oleh seorang rakan.

Menyedari kulit wajahnya terlalu kering dan ditumbuhi jerawat kecil, Deena terus saja membeli dua buku sabun muka itu. Kepercayaannya pada produk tersebut langsung tidak berbelah-bahagi memandangkan kulit wajah si penjual tidak mengalami sebarang masalah.

Pada minggu pertama, Deena mengakui kulit wajahnya tidak mengalami sebarang alahan. Semuanya berjalan lancar. Namun hari demi hari anak kelahiran Ampang, Selangor itu terkejut apabila mendapati kulit wajahnya bertambah gelap. Ibarat terbakar terkena panahan cahaya matahari yang terik.

"Sukar digambarkan perasaan saya ketika itu. Makin lama kulit wajah terutama bahagian pipi menjadi gelap dan lebam. Hendak ke kuliah pun terasa malu kerana rakan-rakan tanya perihal kulit wajah yang bertukar secara drastik.

"Lebih memeritkan apabila kulit di bahagian tepi mulut bagaikan melecur dan luka. Saya sukar untuk senyum dan makan. Mulut terasa tegang dan ketat," ulas Deena yang terus berhenti mencuci wajah menggunakan sabun tersebut.



Bagi mengembalikan semula seri wajah dan membaiki permukaan kulit yang bermasalah itu, Deena hanya mencuci wajah dengan air sahaja. Tiada produk wajah yang digunakan kerana bimbang kulit wajah bertambah teruk. Akhirnya Deena mampu menarik nafas lega kerana kulitnya yang gelap semakin pulih. Tapi, masalah kekeringan yang dialami masih kekal.

"Kulit kering masih ada walaupun kini saya dah mula lakukan skrab dan memakai topeng muka tiga kali seminggu. Selain itu, sebelum keluar rumah saya akan oles wajah dengan bedak asas supaya kulit kering tidak terlalu jelas kelihatan," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Liang pori tersumbat

Menurut perunding kecantikan Clinique, Gigi Hee, Deena mengalami kulit kering terutama di bahagian pipi. Pada masa yang sama dia turut berhadapan dengan masalah pori-pori (liang roma) yang tersumbat dengan kotoran.

GIGI HEE (kiri) melakukan analisis dan perunding berhubung masalah yang dialami Deena.

"Deena mengakui dia kerap skrab wajah dan memakai topeng muka, tetapi dia jarang menjalani rejim penjagaan wajah yang betul. Memandangkan kulit wajahnya sentiasa diliputi dengan bedak padat, maka Deena wajib memakai pelembap dan krim asas terlebih dahulu.

"Ini bagi membolehkan segala kotoran dan serbuk bedak padat itu terlekat pada krim asas, bukannya meresap ke dalam kulit wajah. Selain itu, sebelum tidur pastikan kulit wajah dibersihkan dengan penanggal solekan dan gunakan pencuci wajah mengikut jenis kulit," terang Gigi sambil menyapu krim topeng wajah.

Tambah Gigi, disebabkan kulit Deena terlalu kering maka pemakaian topeng perlu digunakan selepas menyapu krim pelembap. Ini kerana topeng wajah itu dapat menyerap krim pelembap ke dalam kulit wajah, agar kulit kekal lembap sentiasa.

0 comments:

Post a Comment