ADS

ads

6 Cara Kurangkan Pengambilan Gula


Segala yang manis ini memang sedap dimakan tetapi jika terlebih makan, yang menanti anda adalah sesuatu yang menakutkan.

Setelah mengambil makanan bergula kegemaran, seseorang akan mengalami pertambahan tenaga, namun setelah beberapa ketika, tahap gula di dalam darah akan turun sehingga membuat anda semakin ketagihan gula. Ini berlaku kerana tubuh telah terbiasa memiliki tahap gula dalam darah yang tinggi. Terlalu banyak gula akan melemahkan sistem kekebalan dan tubuh mudah berasa letih.

Seorang pakar pemakanan di Truestar Health, Kanada, Sofia Segounis mengemukakan, seseorang akan mula ketagihan gula kerana adanya ketidakseimbangan dalam hormon insulin. Maka semakin banyak gula yang diambil, kian banyak pula insulin yang dikeluarkan oleh tubuh untuk mengubah gula menjadi tenaga. Insulin merupakan hormon yang mengawal tingkat gula di dalam darah.

Oleh kerana itu, kebiasaan mengambil makanan yang mengandungi kadar gula yang tinggi sebaiknya dihindari. Selain tidak baik untuk kesihatan, ia juga dapat mencetuskan pelbagai jenis penyakit. Fakta berikut merupakan beberapa cara untuk mengurangkan pengambilan makanan bergula.

Pertama, hindari godaan makanan bergula. Makan dalam kuantiti yang sedikit bukan sehingga membuatkan kain, seluar atau jeans terasa ketat. Jika ada hidangan buah-buahan atau sayuran, lebih baik pilih makanan ini.

Kedua, banyakkan minum air terutama air kosong. Dengan cara ini, tubuh akan mendapat keperluan air yang mencukupi. Selain itu, cara ini juga mencegah keinginan untuk menikmati sesuatu hidangan, baik makanan bergula atau makanan yang lain. Oleh kerana itu, minumlah air untuk menurunkan kecenderungan memilih makanan ringan yang manis.

Ketiga, jangan lupa ambil ‘supplement’. Vitamin C misalnya, sangat bermanfaat untuk membantu mengawal kebiasaan mengambil makanan bergula. Vitamin C semulajadi banyak ditemui dalam buah oren dan buah kiwi. Sementara magnesium membantu mengatur tahap gula dalam darah dan banyak diperolehi daripada sayuran berdaun hijau, kekacang, bijirin, ikan, dan daging.

Keempat, makan sedikit tetapi kerap untuk sepanjang hari. Makan secara teratur akan memberikan tubuh tenaga sepanjang hari, dan mengatur tahap gula di dalam darah. Ini kerana gula dapat masuki aliran darah secara berperingkat. Pilihlah makanan yang tinggi kandungan seratnya. Semakin tinggi kandungan serat, semakin lambat gula masuk ke dalam aliran darah.

Kelima, pilihlah makanan daripada bahan pemanis semulajadi seperti madu. Makanan yang berasal daripada bahan pemanis semulajadi merupakan salah satu alternatif terhadap gula yang diproses. Bahkan, ia juga mengandungi lebih banyak nutrisi jika dibandingkan dengan gula biasa. Biasanya pemanis semulajadi tidak akan dilepaskan dalam aliran darah secepat gula yang diproses.

Keenam, jaga keseimbangan hormon tubuh. Gula dan makanan yang mengandungi karbohidrat tinggi seperti pasta, dan nasi putih akan segera diubah menjadi gula di dalam darah dan akan menyebabkan kadar insulin naik. Oleh kerana itu, sebaiknya pola makan anda harus terdiri daripada protein, karbohidrat dan lemak yang seimbang. Lemak dan protein berupaya menghalang penyerapan karbohidrat di dalam aliran darah. Malah, ia juga memberikan sumber tenaga yang stabil serta akan menjaga tubuh tetap sihat.

0 comments:

Post a Comment